Monday, December 1, 2008

Hentikan tindakan mengguris hati orang Melayu

SEKALI lagi orang Melayu terguris apabila Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mempertikaikan konsep ketuanan Melayu dengan membuat kenyataan bahawa konsep tersebut tidak relevan lagi. Malangnya kenyataan itu dibuat selepas beliau tidak lagi berada dalam Kabinet seolah-olah ada agenda lain di sebaliknya.

Tidak kita nafikan akhir-akhir ini pelbagai bentuk kritikan, tindakan dan juga ketidakpuasan hati diungkit berkaitan orang Melayu sama ada oleh parti pembangkang mahupun parti-parti komponen Barisan Nasional yang menyentuh isu bahasa, keistimewaan Melayu dan juga pendidikan.

Dua minggu lepas, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah memberi peringatan agar kaum-kaum lain di negara ini menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan di negara tempat mereka berhijrah dan bukannya mengkritik untuk tujuan menjatuhkan. Ternyata titah tersebut dipandang remeh kerana masih ada isu yang dibawa ke tengah seolah-olah sengaja mahu diperdebatkan.

'Serangan' paling jelas ialah mengenai isu ketuanan Melayu dan juga bahasa Melayu kerana tidak sampai dua minggu selepas sesuatu isu dibangkitkan ada pula isu baru yang diketengahkan yang sedikit-sebanyak menggugat kesabaran orang Melayu.

Kedegilan pihak-pihak tertentu yang tetap mahu mengungkit setiap isu mengenai Melayu seolah-olah melanggar Perlembagaan yang mana telah ditetapkan bahawa bahasa Melayu itu sebagai bahasa rasmi dan keistimewaan kaum Melayu sebenarnya merujuk kepada asal usul negara ini dan kaum pribuminya daripada keturunan Melayu.

Apa yang berlaku sebenarnya memperlihatkan adanya usaha untuk mengikis kuasa Melayu sedikit demi sedikit daripada negara ini.

Sejarah telah membuktikan bahawa kuasa-kuasa Melayu yang amat gah suatu masa dahulu terhakis sedikit demi sedikit angkara orang asing.

Punca utamanya ialah dari segi ekonomi dan perluasan kuasa dan pengaruh yang berpunca daripada ekonomi. Kita ambil contoh Melaka yang dahulunya amat terkenal sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan.

Kelicikan orang luar melebarkan perniagaan mereka telah menyebabkan negeri Melaka dikunjungi orang luar sebagai peniaga.

Kepintaran Ferenggi yang pada mulanya membeli tanah sebesar belulang lembu tidak pernah difikirkan langsung oleh pembesar tempatan bahawa dengan belulang itulah Ferenggi menghirisnya kecil-kecil kemudian disambung menjadi tali dan keluasan tanah sebesar tali yang diregang itulah menjadi milik mereka.

Orang Melayu yang bangun mempertahankan hak mereka dalam suasana sekarang terdiri daripada yang membaca dan memamahi sejarah lama sebagai satu pengajaran supaya sejarah hitam itu tidak berulang.

Kita juga menghormati orang bukan Melayu yang memahami sejarah dan keistimewaan Melayu dengan tidak mengusik langsung soal tersebut. Mereka yang memahaminya menjadikan negara kita sebagai tempat mencari rezeki, tempat berlindung dan tempat tinggal selama-lamanya.

Apa-apa pun kita harus ingat jika isu mengenai ketuanan Melayu dan soal bahasa Melayu diungkit oleh bukan Melayu, ini bermakna ada usaha-usaha untuk menghapus keistimewaan tersebut, dan landskap negara akan berubah sekelip mata.

Oleh itu, Melayu mestilah berusaha melindungi hak-hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Salah satu caranya ialah Melayu mesti memperkemas kedudukan ekonomi mereka kerana dengan kelemahan ekonomi, bermakna orang lain akan mengambil kesempatan atas kita.

Di samping itu, kementerian-kementerian tertentu mesti mencari kaedah- kaedah lain untuk memperkukuh perpaduan di kalangan kaum di negara ini supaya dengan mantapnya perpaduan, keharmonian akan dapat dipertahankan.

Dengan hanya menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai bahan kajian wajib di sekolah-sekolah rendah tidak lama lagi belum tentu cukup untuk memastikan 'sejarah' kita tidak akan diusik kemudian hari.

Kita sebenarnya mesti mencari jalan bagaimana mahu mendidik sebahagian kecil warga negara yang sudah remaja, dewasa dan tua di negara ini untuk untuk memahami dan menghormati sejarah.

M. JASNI MAJED

Bukit Kapar, Selangor

No comments: