Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
--------------------------------------------------------------------------------
SETIAP peristiwa yang berlaku di dunia ini ada kitarannya. Tidak ada manusia kebal daripada mencipta kesilapan jauh sekali maksum daripada berbuat dosa. Sebab itu dinamakan manusia - bukan malaikat - makhluk ciptaan Tuhan yang akur dan tunduk kepada Penciptanya.
Justeru sebagai makhluk bernama manusia, setiap daripada kita mesti ingat kitaran kesilapan yang dilakukan oleh orang lain tidak mustahil berpusing kepada diri kita.
Terutamanya jika kita tidak belajar, enggan belajar dan mendabik dada kononnya hanya sekumpulan manusia mencipta noda.
Penyebaran gambar bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong contoh terbaik. Malah peletakan jawatan bekas ADUN Bukit Selambau. V. Arumugam juga sewajarnya disorot apabila memperkatakan tentang catatan noda yang kononnya hanya dilakukan oleh sekumpulan manusia.
Apabila salah laku atau perbuatan menyanggah moral melibatkan pembangkang, maka akan muncullah teori konspirasi, agenda dan taktik. Kononnya pendedahan salah laku moral di kalangan barisan pemimpin pembangkang adalah konspirasi pihak lawan - dalam kes ini tentunya kerajaan Barisan Nasional (BN).
Rakyat belum lupa dakwaan kes liwat yang melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sarat dengan istilah konspirasi. Kononnya konspirasi kerajaan untuk menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Ketika itu jika dihitung perkataan yang paling kerap digunakan tentulah 'konspirasi' jawapannya, hampir semua keputusan kerajaan dikaitkan dengan konspirasi.
Begitu juga dengan pendedahan demi pendedahan berhubung kait dengan masalah moral (salah laku bukan berbogel, meliwat atau hubungan seks semata-mata) di kalangan pemimpin pembangkang. Semuanya disanggah, ditolak dan paling penting dikaitkan dengan kerajaan BN, kononnya dakwaan itu tidak wujud sebaliknya direka-reka.
Rakyat Malaysia akan disogok dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan menggunakan media arus pembangkang sebagai platformnya.
Apa pun yang ditulis oleh media pilihan mereka asalkan berpihak kepada pembangkang dihalalkan. Sementara apa juga fakta yang ditonjolkan oleh pemerintah menerusi media arus perdana semuanya konspirasi.
Menggunakan Harakah, Suara Keadilan dan pelbagai blog bagi pembangkang adalah wajar atas nama kebebasan bersuara, tetapi hak seperti itu tidak boleh ada pada pemerintah lantas kedengaranlah teriakan "media arus perdana berat sebelah".
'Penyakit saraf' seperti itu kekal sehingga ke hari ini. Apabila ADUN Bukit Selambau meletakkan jawatan sebagai ADUN dan Exco kerajaan negeri - pembangkang mendakwa tindakan itu angkara kerajaan BN - gara-gara BN yang 'tidak senang' dengan Arumugam. Atau lebih tepat natijah daripada BN yang mahu merampas kerajaan pakatan pembangkang di Kedah.
Sedangkan rakyat Malaysia arif apa puncanya. Rakyat negeri Kedah semestinya lebih masak perihal faktor-faktor yang mendorong Arumugam berbuat demikian - salah laku moral yang tidak boleh diterima rakyat khususnya pengundi di wilayah 'jajahannya'.
Tetapi pakatan pembangkang bekerja keras menongkah arus kepercayaan. Barisan pemimpinnya berusaha meracuni pemikiran rakyat bahawa Arumugam membuat keputusan sebab tidak tahan diugut, dia cuba dibeli oleh BN dengan wang kertas yang jika disusun boleh saja menutup kerusi DUN Bukit Selambau.
Dia tidak tahan dengan 'godaan' dan cubaan dibeli oleh BN. Cerita 'dongeng' salah laku bekas ADUN itu dikatakan momokan pemimpin BN.
Ulang tayang teori konspirasi amat jelas dalam kes ini cuma apabila filem lama cuba dimainkan semula, paparan gambar dan kualiti suaranya agak suram.
Teori konspirasi dan drama 'penculikan' semakin basi gara-gara keghairahan dan keterujaan pakatan pembangkang itu sendiri mahu menghalalkan setiap tindakan mereka.
Apabila apa yang dicita-citakan menjadi milik lawan, maka jadilah mereka seperti "musang dengan anggur masam".
Punca sebenar Arumugam membuang jawatan dan kedudukan bukan kerana BN. Apabila salah laku moral sampai ke pengetahuan umum semestinya berkaitan dengan maruah dan perasaan malu sehingga menuntut tindakan meletakkan jawatan.
Sama juga dalam kes pengedaran gambar bogel Elizabeth Wong. Sidang akhbar yang berlangsung semalam menceritakan segalagalanya. Namun ada juga cubaan untuk mengaitkannya dengan BN - kononnya BN terlibat dalam kewujudan gambar tersebut.
Mengapa BN yang cuba ditonjolkan dalam hal ini, sedangkan tuan empunya badan 'mengakui' kesilapan tersebut dan memutuskan menuruti langkah Arumugam - melepaskan jawatan ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Sedangkan semasa kes salah laku bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek, tidak ada pula suara-suara dalam BN yang menuduh pembangkang puncanya. Ketika itu semua pihak terutama pembangkang menyelar titik hitam yang diakui sendiri secara gentleman oleh Soi Lek itu.
Gesaan dan desakan supaya pemimpin MCA itu dikenakan tindakan disiplin termasuk dilucutkan jawatan dari mulut pembangkang kuat berkumandang.
Tetapi kesungguhan itu tidak berlaku apabila salah laku yang sama berkisar di kalangan pembangkang.
Mereka enggan mengaku salah sebaliknya mengaitkan tindakan tersebut dengan kononnya urus niaga membeli dan menjual harga diri. Tujuannya hanya satu iaitu supaya rakyat terus hilang kepercayaan kepada kerajaan sedia ada.
Seolah-olah noda dan dosa tidak mampu menebusi pakatan pembangkang yang kebal itu. Dan apabila tanggapan hanya orang lain terkhilaf dan tersilap menjadi satu kepercayaan, maka selamanya manusia tidak sedar dia turut terjebak dalam perlakuan yang sama.
Keegoan seumpama itu hakikatnya akan membongkar kesilapan demi kesilapan si pelaku. Tidak ada dalam dunia ini yang 'menjadi salah apabila dilakukan oleh orang lain' - manakala 'menjadi halal jika dilakukan oleh satu pihak yang lain'.
Hitam tetap hitam, langkah memasukkan tambahan warna putih hanya akan menghasilkan warna kelabu.
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.
Wednesday, February 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment