Wednesday, February 11, 2009

Demokrasi, demonstrasi, dusta dan durhaka

Oleh FIRDAUS ABDULLAH

Orang tua-tua memberi nasihat
Berdusta jangan, durhaka pun jangan
Di tengah jalan jika tersesat
Kembali ke pangkal cari pedoman

WINSTON Churchill pernah berkata: "Demokrasi adalah sistem pemerintahan yang paling buruk, tetapi tidak ada satu sistem lain pun yang lebih baik daripada itu."

Sewaktu rusuhan kaum 13 Mei 1969, Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada masa itu, Allahyarham Tun Dr. Ismail mengisytiharkan "demokrasi telah mati di Malaysia."

Iktibar daripada ucapan kedua-dua tokoh itu ialah tidak mudah untuk mengamalkan demokrasi dalam pengertian yang murni.

Menyentuh isu demonstrasi, peristiwa mutakhir di Malaysia ialah rusuhan pada Jumaat lalu di sekitar Kuala Kangsar. Turut tersiar ialah gambar beberapa individu berjubah dan berketayap berbaring di atas jalan menghalang kenderaan Raja Muda Perak ke Istana Iskandariah.

Menghairankan tentang demonstrasi itu ialah hampir keseluruhannya terdiri daripada orang Melayu sedangkan yang hendak dipertahankan ialah pemerintahan Pakatan Rakyat yang didominasi oleh DAP.

Bila memperkatakan tentang dusta, media massa berulang kali menyiarkan percakapan dolak-dalik bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Pada satu ketika Nizar berkata (berjanji) akan mematuhi keputusan Sultan Perak mengenai permohonannya supaya baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri. Kemudian ternyata Nizar mungkir janji bila beliau enggan menerima keputusan Sultan.

Tentang penderhakaan, petikan luar biasa bekas Menteri Besar tersebut ialah "Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda, patik mohon untuk derhaka Tuanku."

Rujukan terhadap "demokrasi, demonstrasi, dusta dan derhaka" di atas, adalah catatan rambang dan imbasan minda bersabit kemelut politik Perak yang mencapai kemuncak dengan peralihan kuasa daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional.

Daripada satu segi, peristiwa kemelut politik dan peralihan kuasa itu dapat dilihat sebagai satu ujian, dan mungkin juga satu cabaran, terhadap sistem politik Malaysia. Ujian dan cabaran itu muncul dalam bentuk tindakan-tindakan yang luar biasa terhadap sistem politik dan tradisi pemerintahan di Malaysia khususnya di negeri Perak.

Sistem politik Malaysia secara umum atau pada peringkat mikro dipanggil sistem "Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan". Sistem utama digerakkan oleh pelbagai subsistem atau struktur seperti sistem legislatif (Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada peringkat kebangsaan dan Dewan Undangan Negeri pada peringkat negeri), sistem parti politik, sistem pilihan raya, sistem birokrasi, struktur tentera dan kepolisan, struktur badan sukarela dan struktur media massa.

Menurut amalan pemerintahan selama ini, pelbagai subsistem dan struktur tersebut pada amnya secara terbuka sentiasa taat setia kepada raja.

Maka apabila Nizar secara terbuka mohon derhaka kepada Sultan, beliau bukan sahaja memperlekehkan kedaulatan dan kewibawaan Sultan malah turut memandang remeh subsistem atau struktur yang menggerakkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan itu.

Nizar seakan-akan terlepas pandang atau tidak memahami hakikat kewujudan struktur-struktur atau subsistem tersebut.

Dalam kealpaannya memahami hakikat tersebut Nizar cuba menguji atau mencabar sistem. Kenapa beliau begitu nekad? Adakah kerana tidak dapat menerima hakikat kehilangan kuasa?

Atau kerana tidak sedar beliau diperalat oleh golongan berkepentingan. Kepada Nizar, kembalilah ke pangkal jalan!

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

No comments: