Friday, February 6, 2009

Pas umpama melukut diperkuda Pakatan Rakyat

Oleh Ahmad Ikram Abdullah
rencanabh@bharian.com.my
PAS seharusnya mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat. Krisis politik di Perak mendatangkan kerugian politik yang amat besar kepada parti itu. Jawatan Menteri Besar dan satu portfolio Exco yang dipegang Pas di Perak kini sudah hilang.

Malah, Pas bukan saja sudah hilang jawatan dan hilang kuasa, sebaliknya juga menghadapi risiko diheret sama dalam kancah pertembungan antara Pakatan Rakyat dan istana.

Keengganan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akur dengan titah perintah Sultan Perak supaya meletak jawatan adalah satu kesalahan yang amat besar. Malah, ada yang berpendapat keengganan itu menunjukkan sikap ‘seorang Melayu yang kurang ajar’ dan satu penderhakaan kepada Sultan.



Malah, sehari sebelumnya, Mohammad Nizar dalam kenyataannya kepada media selepas menghadap Sultan Perak sudah menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan baginda untuk membuat sebarang keputusan berhubung suasana politik di Perak. Namun, apabila keputusan tidak berpihak kepadanya, beliau bertindak berlawanan.

Persoalan yang timbul sekarang, adakah keengganan meletak jawatan itu, yang berlawanan kehendak istana, sebagai satu pendirian Pas atau mengikut arahan pemimpin Pakatan Rakyat? Pas sebagai sebuah parti Melayu Islam memang sentiasa menunjukkan taat setianya kepada institusi Raja yang menjadi naungan semua orang Melayu khasnya dan rakyat tanpa mengira kaum amnya.

Malangnya, hal ini tidak berlaku dalam pertimbangan Pas di Perak. Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut mempersoalkan keputusan istana. Justeru, adalah sesuatu yang menghairankan apabila Mohammad Nizar dan Abdul Hadi bertindak sedemikian dan bersifat tidak konsisten dengan prinsip Pas yang sebelum ini dilihat sentiasa bersama Umno mempertahankan institusi Raja.

Mungkin Pas terlalu mengikut telunjuk Pakatan Rakyat sehingga hilang pertimbangan dan kewarasan membuat keputusan. Dalam hal ini, Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat lebih rasional apabila dilaporkan media, akur dengan keputusan istana.

Kedudukan politik Pas di Perak tidaklah kukuh. Pas ingin menjadi ‘king maker’ dalam percaturan politik di Perak, tetapi dengan hanya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding tujuh milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan 18 DAP, Pas hanyalah parti ‘mainan’ DAP.

Pas bernasib baik mendapat kerusi Menteri Besar kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Perak mensyaratkan bahawa Menteri Besar hendaklah seorang Melayu. Umum tahu yang menjadi Menteri Besar sebenar di Perak pada zaman Pakatan Rakyat 11 bulan lalu bukannya Pas, tetapi DAP. Oleh kerana kedudukannya yang lemah, Pas tiada kuasa mutlak untuk mencorakkan hala tuju negeri Perak, melainkan dengan ihsan DAP.

Barisan Nasional (BN) Perak diberitakan sudah menghulurkan tangan agar Pas bersama-sama menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu. Dengan 27 kerusi Umno, satu MCA dan enam Pas, kerajaan campuran ini adalah lebih kukuh dan stabil berbanding pakatan Pas-PKR-DAP.

Kerajaan campuran BN-Pas ini lebih baik untuk rakyat negeri Perak. Malah, BN Perak dikatakan turut bersedia untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar dan Exco kepada Pas jika Pas bersetuju bergabung dengan BN.

Tetapi Pas tidak menyambut salam BN, sebaliknya lebih selesa dengan pelukan DAP. Bergabung dengan Umno dilihat lebih mendatangkan mudarat kepada Pas daripada bergabung dengan DAP. Diharap pegangan ini sudah berubah.

Ke mana hala tuju Pas selepas ini? Dalam konteks di Perak, percaturan Pas untuk bersama DAP dan PKR sangat merugikan parti dan orang Melayu. Malah, risiko yang terpaksa dihadapi Pas ekoran kemelut ini adalah sangat besar. Pas terheret sama dalam pertembungan dengan istana akibat keengganan Mohammad Nizar melepaskan jawatan Menteri Besar.

Dalam konteks nasional, kedudukan Pas juga sebenarnya sangat lemah berbanding PKR dan DAP. Pas hanya ada 24 kerusi Parlimen berbanding 28 DAP dan 31 PKR. Pas ibarat melukut di tepi gantang.

Harapan Pas untuk mempengaruhi warna politik negara dan menjadi alternatif kepada Umno sebagai parti utama orang Melayu adalah gelap kerana PKR juga ada calon Melayu. Malah, jika Pakatan Rakyat menguasai Parlimen sekalipun, mustahil Presiden Pas dapat jadi Perdana Menteri selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim masih ada.

Pas juga mungkin terpaksa mengorbankan banyak prinsip perjuangannya kerana DAP, akan tetap menjadi parti komponen utama. Sepatutnya pengalaman Pas di Perak bersama DAP menjadi pengajaran yang sangat berguna.

Pas sedar kedudukannya yang rapuh dan terpaksa mengubah strategi dengan cuba menawan hati bukan Melayu, maka lahirlah slogan baru ‘Pas Untuk Semua’. Pas tidak banyak pilihan. Gabungannya dalam Pakatan Rakyat membawa lebih banyak kesan buruk daripada baik.

Parti itu terpaksa berkompromi dengan perjuangan asalnya menubuhkan negara Islam, hilang jawatan dan kuasa, malah terheret sama dalam pertembungan antara Pakatan Rakyat dengan istana.

Oleh itu, wajarlah Pas berfikir dan mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat demi kelangsungan politik Pas sendiri dan demi perpaduan nasional.

No comments: