Friday, February 27, 2009

Kereta mesra alam pasca kemelesetan

Dr Zaini Ujang

INDUSTRI automobil mendapat kesan paling ketara dalam suasana ekonomi dunia kian merudum ketika ini. Hampir semua syarikat pembuat automobil dunia mencatat kerugian dalam urus niaga sepanjang tahun lalu. Malah, syarikat automobil terbesar dunia, GM Motor, sedang berusaha untuk mendapat pembiayaan pakej rangsangan dari kerajaan Amerika Syarikat bagi menyelamatkan syarikat terbabit daripada muflis.

Syarikat automobil utama Jepun, Toyota juga parah terkesan sehingga menurut laporan media, terpaksa merancang membuang 20,000 pekerja di serata dunia. Pembuangan pekerja ini lebih menyerlah di negara ketiga yang menjadi pusat pembuatan seperti China, Thailand, Eropah Tengah dan Timur.

Di Slovakia misalnya, syarikat gergasi seperti VW, PSA Peugeot, Renault dan Kia menghasilkan lebih 1.1 juta kereta setahun pada 2006, terpaksa mengurangkan pengeluaran secara mendadak. Perkembangan sama berlaku di Romania, Republik Czech, Hungary dan Poland yang pada 2006 menghasilkan hampir dua juta kereta setahun khusus untuk pasaran di Eropah, Afrika dan Asia Tengah.

Dalam kemuraman suasana ekonomi ini, pembuat kereta terbesar Malaysia, Proton Holdings Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 25 Februari lalu. Kedua-dua pihak sepakat untuk bekerjasama menjalankan tiga program yang dijangka dapat melonjak teknologi automobil negara iaitu penyelidikan, pembangunan modal insan dan pertukaran kepakaran di kalangan staf.

Proton memilih UTM dengan harapan kerjasama secara lebih akrab dijangka mewujudkan sinergi memandangkan kepakaran dan kemudahan di UTM paling canggih di kalangan universiti tempatan dalam bidang automotif. Selain itu, UTM juga berjaya menjalankan penyelidikan bersama Proton sebelum ini dari segi getaran dan impak rintangan kepada beberapa model terbaru Proton.

UTM juga penjana utama harta intelek (IP) di Malaysia yang boleh dimanfaatkan Proton untuk tujuan komersial dan pembangunan produk baru. Walaupun ekonomi dunia tampak membimbangkan, industri automotif semakin kompetitif ketika ini. Selain strategi untuk menghadapi kemelut ekonomi semasa, industri automotif adalah pentas menguji teknologi terkini dalam pelbagai bidang.

Automotif bukan sekadar kenderaan untuk sesuatu perjalanan dari satu tempat ke destinasinya. Malah industri automotif juga memerlukan unsur keselesaan, keselamatan, penjenamaan, sekali gus lambang status sosial.

Selain itu banyak spesifikasi baru menjadi semakin diperlukan terutama kelestarian dan mesra alam yang tidak terhad kepada pelepasan gas, penggunaan plastik mesra alam dan penggunaan bahan api secara optimum.

Pelepasan gas adalah isu hangat dibincangkan sejak 1970-an lagi. Ketika itu pelepasan gas berbahaya seperti plumbum, sebatian gas nitrogen, hidrokarbon dan karbon monoksida menjadi isu utama kerana menyebabkan pencemaran udara secara lokal. Kebanyakan negara menguatkuasa peraturan khas mengehadkan penggunaan gas terbabit.

Peraturan dikuatkuasakan di Malaysia termasuk Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kepekatan Plumbum dalam Gasolin Motor) Peraturan 1985 dan kawalan pelepasan dari enjin diesel dan petrol dikuatkuasakan pada 1996. Hasilnya, pencemaran udara dari sektor pengangkutan berkurangan dengan ketara di serata dunia, termasuk di Malaysia.

Ketika ini, isu utama ialah pelepasan karbon dioksida yang menyumbang kepada peningkatan suhu bumi. Hal ini termaktub dalam Protokol Kyoto 1997 yang bertujuan untuk menyelaraskan tindakan secara global bagi mengurangkan peningkatan suhu bumi.

Kepekatan gas karbon dioksida di atmosfera dianggarkan 370 ppm (bahagian per sejuta) pada masa ini, berbanding 280 ppm pada pertengahan abad ke-19. Kepekatan ini dijangka akan terus meningkat kepada 550 ppm pada 2050 jika tindakan drastik tidak dilakukan untuk mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida.

Tidak dinafikan pada awalnya banyak pihak sinis terhadap gagasan Protokol Kyoto termasuk negara maju. Namun demikian, pentadbiran Presiden Barack Obama mengubah dasar Amerika Syarikat menjadi pendokong terkini Protokol Kyoto. Hal sama berleluasa dalam industri automobil.

Salah satu program dalam pakej rangsangan ekonomi yang ditandatangani Obama minggu lalu ialah insentif kepada pembuat kereta untuk menghasilkan produk dan enjin mesra alam yang memenuhi ciri-ciri pelestarian (sustainability). Dalam konteks pelestarian, komponen mesra alam tidak terhad kepada jenis enjin dan bahan bakar seperti biodiesel semata-mata.

Sebagai contoh jika industri huluan menghasilkan biodiesel terbabit tidak mesra alam dan mendatangkan pelbagai masalah lain seperti krisis makanan, maka kerangka industri berkenaan dianggap tidak lestari.

Pakej rangsangan diumumkan Obama itu memerlukan pendekatan holistik bukan saja untuk pembuat kereta bahkan industri sokongan termasuk bahan api, bahan pembuatan dan jaringan sistem kewangan. Hal ini semakin mudah difahami kerana golongan pengguna nampaknya cenderung kepada barangan dan perkhidmatan lestari, apatah lagi jika harganya lebih murah.

Oleh itu, pelbagai inovasi dilaksanakan seperti penggunaan enjin hibrid, bahan api sel, enjin diesel lebih optimum, penghasilan terhad karbon dioksida, sistem pembiayaan mantap dan guna semula bahan terpakai.

Inovasi ini disokong pula oleh penguatkuasaan Akta Kereta Bersih (HB 1397) di California dan Oregon, Amerika Syarikat pada tahun ini. Akta ini dikuatkuasakan kerana industri automobil menyumbang 40 peratus daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG) khususnya karbon dioksida. Menerusi Akta ini, pembuat kereta dikehendaki mengurangkan 30 peratus pelepasan GHG menjelang 2016.

Jika akta ini dijadikan sandaran, maka tidak mustahil industri automobil khususnya yang mempunyai kepentingan di pasaran Amerika Syarikat akan menjadi pemangkin kepada teknologi automobil lestari. Teknologi ini bukan saja sudah dikenal pasti bahkan sudah dipamerkan dalam bentuk prototaip.

Selain mesra alam, teknologi ini juga menggunakan bahan api jauh lebih sedikit berbanding teknologi konvensional. Ini diungkapkan menerusi indeks CAFÉ (Corporate Average Fuel Economy) yang menetapkan tahap penggunaan bahan api. Ketika ini tahap CAFÉ di Amerika Syarikat ialah 27.5 batu segelen untuk kereta dan 20.7 batu segelen untuk lori kecil. Menerusi Akta Kereta Bersih 2005, CAFÉ ditetapkan pada 45 untuk kereta dan 34 untuk lori kecil.

Memang industri automobil berada pada kedudukan terdesak ketika ini. Tetapi usaha dan inovasi masih boleh dilaksanakan dengan lebih terancang kerana tumpuan ketika ini ialah pembangunan kerangka dan sistem baru, bukan lagi pemasaran dan pengeluaran kaedah lama.

Pada jangkaan saya, suasana ekonomi dan pakej rangsangan akan menjadi pemangkin pembangunan pelbagai kerangka dan teknologi baru, termasuk industri automobil. Kerjasama antara Proton dan UTM itu sebenarnya simbol dinamisme baru dalam industri automobil tempatan.



Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

No comments: