Sunday, February 8, 2009

Pembangkang dedah tembelang sebenar



Oleh Manja Ismail


KENDERAAN Diraja dihalang penyokong pembangkang di hadapan Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Jumaat lalu.



Sanggup menderhaka serta enggan mengaku kalah dari segi helah dan juga strategi

KEJATUHAN kerajaan negeri apabila parti atau gabungan parti yang memerintah mempunyai majoriti kecil akibat wakilnya melompat parti seperti berlaku di Perak minggu lalu atau kerana usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri, bukan perkara baru malah hampir seusia dengan sejarah pilihan raya selepas merdeka di negara ini.

Kerajaan campuran Pas-Parti Negara di Terengganu yang dibentuk ekoran pilihan raya umum pertama selepas negara merdeka pada 1959 diketuai Daud Samad hanya bertahan dua tahun apabila pada Oktober 1961, tiga Ahli Dewan Undangannya (Adun) keluar daripada pakatan itu.

Parti Perikatan, yang mempunyai tujuh kerusi ketika itu, mengusulkan undi tidak percaya dengan disokong oleh tiga Adun dari Parti Negara, lalu membolehkannya membentuk kerajaan baru diketuai Tan Sri Ibrahim Fikri pada November 1961.



Di Sarawak pada 1966, 21 daripada 42 Adun negeri itu menandatangani surat rahsia mengusulkan undi tidak percaya kepada Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Berikutan itu, Gabenor, Tun Abang Openg meminta Ningkan meletak jawatan dan dipecat apabila enggan berbuat demikian, dengan digantikan oleh Penghulu Tawi Sli.

Bagaimanapun, Ningkan kembali memegang jawatan itu selepas Mahkamah Tinggi Borneo memutuskan pemecatannya tidak sah tetapi hanya untuk seketika apabila partinya tewas dalam pilihan raya negeri selepas itu.

Pada 15 Oktober 1977, 20 Adun dari Pas, yang ketika itu komponen Barisan Nasional (BN), membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Mohamad Nasir dalam sidang DUN Kelantan. Krisis politik itu bertukar menjadi rusuhan yang memaksa Kerajaan Pusat meluluskan rang undang-undang Akta Darurat Negeri Kelantan bagi mengisytiharkan darurat di negeri itu mulai 9 November 1977, sekali gus jawatan Menteri Besar terlucut secara automatik.

Pada awal pagi 22 April 1985, Tun Datu Mustapha Harun dari Usno mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah sebaik saja keputusan pilihan raya umum negeri diumumkan walaupun partinya hanya menang 16 kerusi serta disokong Berjaya (enam) dan satu dari Pasok berbanding 25 kerusi dimenangi oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Datuk Joseph Pairin Kitingan yang menang 25 kerusi.

Mustapha berkira, selaku Ketua Menteri seperti diperuntukkan Undang-undang Sabah, beliau boleh melantik beberapa Adun dilantik dan dengan itu akan mempunyai majoriti nipis di DUN. Cubaannya itu gagal tetapi politik Sabah bergolak sehingga pilihan raya umum diadakan dua tahun selepas itu.

Beberapa peristiwa ini diimbas semula bagi menunjukkan bahawa soal lompat melompat parti dan usul undi tidak percaya dalam politik Malaysia bukan sesuatu yang asing terutama apabila sesebuah kerajaan itu dibentuk dengan majoriti kecil, kepemimpinan kerajaan terbabit dilihat lemah atau pakatan antara parti-parti politik terlalu rapuh.

Usul undi tidak percaya juga tidak hanya datang daripada BN atau Perikatan tetapi turut diambil oleh parti lain termasuk Pas yang mencetuskan krisis politik Kelantan lebih 30 tahun lalu.

Begitu juga dengan soal melompat parti. Walaupun kebanyakan wakil rakyat melompat ke dalam BN kerana sejak sekian lama ia adalah gabungan politik paling kukuh, keputusan pilihan raya umum Mac lalu turut mengubah senario itu.

Sebaik Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan menguasai lima negeri Mac tahun lalu, pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cukup yakin Ahli Parlimen BN akan melompat parti sehingga beliau memberikan beberapa tarikh untuk membentuk Kerajaan Pusat. Malah, Pakatan Rakyat sudah mula berpesta apabila Adun BN dari Bota, Datuk Nasarudin Hashim mengumumkan masuk PKR sehinggalah beliau menyertai semula BN 11 hari kemudian.

Justeru, bezanya krisis politik Perak sekarang dengan krisis sebelumnya ialah parti pembangkang bukan setakat enggan menerima kekalahan dari segi taktik, helah dan strategi, malah buat pertama kali mereka mempamerkan tembelang sebenar apabila sanggup menderhaka kepada institusi Raja yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Tidak ada perkataan lain yang lebih sesuai selain 'biadap dan menderhaka' apabila melihat penyokong Pas menyerbu kenderaan yang membawa Raja Dr Nazrin Shah di Kuala Kangsar Jumaat lalu dan kedegilan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan seperti dititah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Hakikat bahawa Sultan Azlan, yang juga pakar perundangan, bertindak berasaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak tidak lagi mereka pedulikan. Pakatan Rakyat juga sengaja melupakan hakikat bahawa Sultan Azlan yang memberi perkenan kepada mereka membentuk kerajaan negeri pada Mac tahun lalu walaupun Umno, yang menang paling banyak kerusi berbanding DAP, Pas dan PKR, turut memohon perkenan.

Kita boleh memahami jika hanya DAP dan PKR yang turut dianggotai bukan Melayu bertindak di luar kesopanan dan adab seperti itu. Bagaimanapun, apabila Pas sendiri yang selama ini mendakwa berjuang atas nama Islam dan mempertahankan kepentingan Melayu/Islam, sanggup bersikap sedemikian rupa. Bagi kita menghina Istana Perak sama seperti menghina seluruh Raja-Raja Melayu dan orang Melayu/Islam. Bagaimana dengan pendirian Pas terhadap Istana Kelantan dan PKR ke atas Istana Selangor?

Barangkali kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh seorang pemerhati politik kepada penulis semalam, menjawab sebahagian daripada persoalan ini. "Selepas pilihan raya umum 1969, Pas bergabung dengan Umno dan bersatu melawan DAP yang menghina orang Melayu dan Raja-Raja Melayu tetapi pada 2009, Pas sanggup mati kerana mempertahankan kerajaan boneka DAP dan PKR yang bertindak menghina Melayu dan Raja Melayu. Inilah yang dikatakan Melayu mudah lupa," kata pemerhati itu.

No comments: