Sunday, February 17, 2008
Anak Melayu pertama pimpin orkestra
Oleh Hafizah Iszahanid
hafizah@nstp.com.my
MUSTAFA menjalani latihan bersama sebahagian pemuzik Orkestra Filharmonik Malaysia.
Mustafa dilantik ketua Orkestra Filharmonik Malaysia yang dianggotai lima anak tempatan daripada 110 pemuzik
BAGI mereka yang tidak dididik dalam bidang muzik apatah lagi muzik klasik, pasti agak sukar untuk memahami kehebatan Pengarah Muzik dan Konduktor Muzik Istana Budaya (IBT), Mustafa Fuzer Nawi, 48, lebih-lebih lagi beliau adalah konduktor muzik kelahiran Malaysia pertama diundang memimpin Orkestra Filharmonik Malaysia.
Apa istimewanya memimpin Orkestra Filharmonik Malaysia? Istimewanya kerana orkestra bertaraf dunia itu hanya dianggotai lima anak Malaysia daripada keseluruhannya ahlinya seramai 110 orang manakala selebihnya adalah pemuzik ‘Mat Saleh’.
Bukan soal tidak patriotik untuk menjadikan anak tempatan sebagai anggota orkestra itu, tetapi bakat dan kemahiran mereka menidakkan mereka mampu berada dalam Orkestra Filharmonik Malaysia.
“Mungkin sebagai anak Melayu, pencapaian saya sebagai Pengarah Muzik dan Konduktor Muzik IB boleh dibanggakan, apatah lagi saya terdidik dalam muzik klasik.
“Bagaimanapun, jika meletakkan saya pada peringkat dunia, sebenarnya pencapaian saya ini masih jauh kerana saya belum layak lagi memimpin orkestra enam bintang seperti Berlin Ochestra, London Ochestra atau New York Ochestra,” katanya anak kelahiran Ipoh, Perak yang sudah menjelajah hampir seluruh dunia untuk memenuhi jemputan sebagai konduktor muzik.
Antara yang menarik, Mustafa pernah menerima pelawaan Orkestra Filharmonik Sarajevo pada 2004, iaitu selepas perang Bosnia tamat. Malah, tahun lalu, beliau ke Bangkok memenuhi undangan sama.
“Di Malaysia, muzik orkestra masih baru. Orkestra Simfoni Kebangsaan pun baru ditubuhkan pada 1993. Jadi perjalanan muzik orkestra Malaysia masih belum jauh.
“Selain itu, hala tuju muzik orkestra Malaysia sangat kelam kabut. Orkestra tidak difahami di sini dan tidak sepatutnya main irama asli atau irama tradisional tetapi oleh kerana orkestra ini orkestra Malaysia, kita terpaksa memenuhi keperluan itu,” katanya.
Di kalangan orang Melayu, tidak ramai yang berminat mendalami bidang muzik dalam erti kata sebenarnya. Kebanyakan orang Melayu hanya berminat menyertai dunia muzik popular. Justeru, industri muzik hari ini tidak memiliki ramai penyanyi berkualiti, bijak dan berbakat. Kebanyakannya hanya bersandarkan populariti dan rupa yang menarik.
“Kebanyakan orang Melayu belajar muzik di universiti, waktu umur 18 tahun. Di Eropah, muzik itu adalah sebahagian budaya dan kehidupan. Mereka belajar muzik seawal usia empat tahun. Jadi, itu jawapannya pada soalan mengapa Orkestra Filharmonik Malaysia dipenuhi ‘Mat Saleh’ dan kenapa Orkestra Simfoni Kebangsaan juga dianggotai sebahagiannya oleh orang luar,” katanya.
Sejarah perkembangan muzik orkestra juga datang dari Eropah yang mana beratus-ratus tahun menyaksikan nama-nama komposer hebat yang bukan setakat terbabit dalam muzik malah bidang seni lain seperti seni halus.
Justeru, tidak hairan pemuzik yang menyertai orkestra ternama seperti Simfoni Orkestra London atau Orkestra Filharmonik Berlin berstatus jutawan.
Mustafa, mendapat pendidikan muzik di Hoschschule Fur Musik and Theater di Hannover, Jerman sebelum menyambung pengajian di Conservatorium Hogelschool Enschede di Holland. Beliau pernah menyertai Ochestra Cologne Chamber dan pernah mengadakan persembahan di serata Jerman dan Perancis.
Ketika di Belanda, Mustafa pernah diundang memimpin beberapa kumpulan orkestra seperti ‘Symfonia jong Twente Enschede’,’Twents Symfonie Orkest Enschede’ dan ‘Oostgelders Symfonie Orkest Doetinchen’.
“Saya tidak merasakan saya bagus, tetapi muzik ini sama dengan sukan. Kalau kita tidak sentiasa berlatih, kemahiran akan tumpul, ketajaman juga akan tumpul. Walaupun sudah tamat pengajian di universiti, itu tidak bermakna perjalanan mencari ilmu juga sudah tamat. Setiap tahun saya akan ke luar negara mengikuti kursus jangka pendek atau memenuhi undangan menjadi konduktor muzik,” katanya.
Mustafa bukan saja mendapat pendidikan di Jerman malah mengahwini wanita Jerman, Veronika Thoene seorang pemain violin dan dikurniakan dua cahaya mata Lina dan Ilyas.
Katanya, ketika di sana, beliau biasa menerima undangan bermain muzik yang diserikan dengan makan malam.
“Selalunya kami akan bermain muzik dulu. Empat lima orang pun memadai untuk memainkan gubahan Bach (Johann Sebastian Bach) atau Chopin (Frederic Chopin). Selepas itu baru makan malam. Seronok dan puas, tetapi itu budaya di sana dan tidak seperti di Malaysia,” katanya.
Selain berbakat dan terdidik dalam muzik secara formal, Mustafa juga lahir dan membesar dalam keluarga seni. Kakaknya Fauziah Nawi, manakala adiknya Nasran Nawi juga seorang pemuzik. Disebabkan ayahnya dulu mengendalikan kantin Kompleks Budaya Negara (KBN), sejak kecil Mustafa sudah ‘bersahabat’ dengan nama-nama besar dunia seni seperti Latif Mohidin.
“Saya pernah lihat karya Latif Mohidin dipamerkan ketika di luar negara. Saya terpegun dan berfikir, inilah dulu orangnya yang saya kenal sejak kecil. Tidak sangka dia begitu ‘besar’. Kami masih akrab dan ketika bertemu kami berbual panjang dalam bahasa Jerman,” katanya.
PROFIL: Mustafa Fuzer Nawi
Dilahirkan di Ipoh, Perak pada 1960
Isteri, Veronika Thoene dan dikurniakan dua cahaya mata, Lina dan Ilyas.
Mendapat pendidikan muzik di Hoschschule Fur Musik und Theater di Hannover, Jerman.
Menyambung pengajian di Conservatorium Hogelschool Enschede di Holland dan pernah menyertai Ochestra Cologne Chamber serta mengadakan persembahan di serata Jerman dan Perancis.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment