Saturday, February 16, 2008

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia

Oleh: RODELIO JUNJUN TAUCAN

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Perkembangan positif pasaran saham tempatan pada tahun lalu telah membolehkan 40 lelaki terkaya di negara ini meningkatkan kekayaan terkumpul mereka sebanyak 39.2 peratus tahun ini kepada RM162.66 bilion berbanding RM116.86 bilion pada tahun lalu.

Majalah Malaysian Business dalam satu kaji selidik yang dijalankan mendapati, Pengerusi Hotel Shang-ri La, Robert Kuok Hock Nien kekal sebagai individu terkaya di Malaysia pada tahun ini dengan jumlah kekayaan berjumlah RM58.11 bilion iaitu bernilai hampir 36 peratus daripada kekayaan keseluruhan 40 individu terbabit.

Menurut kenyataan itu, jumlah aset Robert Kuok pada tahun ini bertambah sebanyak RM25.7 bilion berikutan kestabilan pasaran dan peningkatan harga ekuiti.

Ini diikuti oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Usaha Tegas Sdn. Bhd., T. Ananda Krishnan yang merupakan individu kedua terkaya dengan nilai aset berjumlah RM19.63 bilion.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng menjadi orang ketiga terkaya di Malaysia dengan kekayaan terkumpul berjumlah RM14.94 bilion.

Kaji selidik yang dibuat oleh Malaysian Business itu dimulakan sejak 2002 dan menjadi rujukan untuk menilai individu-individu terkaya di negara ini.

Menurut kenyataan itu, dua nama yang melonjak naik pada tahun ini dan tersenarai dalam 10 individu terkaya adalah Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Industrial Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Pengerusi Amcorp Group, Tan Sri Azman Hashim.

Nama yang tidak disenaraikan pada tahun ini adalah mendiang Tan Sri Lim Goh Tong yang juga pengasas kepada Kumpulan Genting.

No comments: