Oleh SAPORA SIPON
KOMITMEN negara dalam mengimarahkan kegemilangan Islam sering dimanifestasikan melalui projek-projek pembangunannya.
Melalui pelbagai program anjuran pihak kerajaan, ternyata Islam membangun dengan begitu pesat.
Satu bukti kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan lagi keagungan Islam dapat dilihat melalui pembinaan Taman Tamadun Islam (TTI).
TTI yang menjadi mercu tanda baru Malaysia dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja melambangkan keagungan seni bina Islam.
TTI juga sebagai lambang kesungguhan pihak kerajaan dalam merealisasikan pembangunan kebajikan untuk seluruh rakyat negara ini.
Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk dewan seminar dan persidangan serta berupaya menjadi tempat yang diminati umat Islam dan bukan Islam untuk menganjurkan aktiviti.
Selari dengan konsep negara berbilang kaum, TTI dibangunkan dengan kefahaman, toleransi dan mencetuskan semangat keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
TTI dibina membabitkan peruntukan RM250 juta di atas tapak seluas 23 hektar dan mengandungi 21 monumen Islam terunggul.
TTI mempamerkan pengunjung kepada kejayaan penguasaan umat Islam pada satu ketika dahulu dalam bidang-bidang terpenting dalam sejarah ilmu pengetahuan.
Lawatan pengunjung ke TTI diharapkan dapat membawa pengunjung untuk mencabar diri memikirkan bagaimana umat Islam berjaya membina bangunan-bangunan yang hebat dengan menggunakan akal fikiran, ilmu pengetahuan dan alat-alat yang terdapat pada ketika itu.
Pembinaan TTI juga diharapkan berupaya membawa bersama-sama semangat ingin menguasai bidang sains dan teknologi yang pernah satu masa dikuasai oleh umat Islam.
TTI melambangkan mengenai keindahan bangunan, tingginya ilmu pembinaan orang Islam dahulu, kemahiran mereka dalam seni, lukisan dan pelbagai seni lain. Pembinaan itu juga memberi fahaman mengenai kemajuan ketika era kegemilangan Islam melalui pemikiran, inovasi dan kreativiti yang cukup tinggi.
Sememangnya kegemilangan Islam sudah lama bermula pada era pemerintahan Islam di Madinah dan berkembang pesat pada zaman Khalifah al-Rasyidin, Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyah. Islam juga bertapak di benua Eropah yang mana ia seterusnya menyumbang kepada kegemilangan tamadun Islam di Andalusia.
Kegemilangan
Seterusnya, pada zaman kegemilangannya, Islam telah membina satu tradisi sains yang telah menjadi salah satu faktor utama mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains moden di Eropah. Kegemilangan itu perlu direntasi sepanjang zaman kerana Islam adalah agama yang syumul dan membawa sinar kepada seluruh umat manusia.
Kegemilangan umat Islam ketika itu telah mencetuskan kejayaan yang cemerlang dalam semua bidang sains - dari ilmu bintang, sains hayat hinggalah kepada ilmu seni bina pada zaman perkembangan Islam antara abad ke-7 Masihi dan ke-16 Masihi.
Maka tidak hairanlah umat Islam berupaya membina bangunan-bangunan yang hebat seperti yang terdapat dalam monumen-monumen di TTI.
Perkembangan ilmu telah menzahirkan pelbagai ciptaan teknologi dan inovasi. Cendekiawan Islam menghasilkan serbuk salpetre sebagai ubat bedil, penggunaan angka sifar dalam matematik dan proses penyulingan untuk memisahkan benda asing dalam campuran cecair. Balai cerap untuk mengkaji bintang, peta, glob, kincir air dan angin, bangunan pengisar bijirin termasuk kereta perisai turut dihasilkan saintis Islam semasa zaman kegemilangan tamadun Islam.
Sebagai negara yang komited dengan perjuangan meningkatkan syair Islam, kesungguhan kerajaan Malaysia dalam membawa balik kegemilangan agama Islam melalui pembinaan TTI adalah satu usaha murni.
TTI diharapkan bukan sahaja dapat membawa bersama-sama pengembaraan, penerokaan dan pengalaman keajaiban kegemilangan Islam satu ketika dahulu. Jauh lebih penting ia menjadi pembakar semangat umat Islam untuk menguasai ilmu dalam pelbagai bidang terpenting sejarah ilmu pengetahuan.
* DR. SAPORA SIPON Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Wednesday, February 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment