Monday, February 18, 2008

‘Tentera Yahudi rampas tanah’ -- Akhbar Israel dakwa berlaku penindasan ke atas rakyat Palestin

BAITULMAQDIS 17 Feb. – Lebih satu pertiga daripada 122 kawasan penempatan Yahudi di Tebing Barat dibina di atas tanah yang “dirampas daripada penduduk Palestin atas sebab-sebab keselamatan”.

Menurut akhbar Haaretz hari ini, sesetengah kawasan penempatan itu dibina walaupun selepas Mahkamah Agung Israel mengharamkan perampasan sedemikian tiga dekad lalu.

Kawasan penempatan Yahudi yang dibina di atas tanah yang ditawan pada perang Asia Barat 1967 telah menimbulkan kontroversi sejak puluhan tahun lalu dan punca pergeseran dengan pihak Palestin dan masyarakat antarabangsa.

Pengkritik kawasan penempatan berkata, undang-undang antarabangsa membenarkan rampasan tanah di wilayah diduduki tetapi hanya untuk keperluan ketenteraan.

Mahkamah Agung Israel pada 1979 mengharamkan amalan tentera merampas tanah persendirian Palestin di Tebing Barat atas sebab keselamatan tetapi kemudian menyerahkannya kepada pendatang haram Yahudi.

Sejumlah 44 kawasan penempatan yang dikenal pasti oleh Haaretz dibina atas tanah persendirian Palestin didiami oleh puluhan ribu rakyat Israel.

Sekurang-kurangnya 19 kawasan dibina selepas 1979, menurut akhbar itu.

Haaretz menyatakan, laporannya itu berdasarkan sebuah pangkalan data tentera Israel yang penyiarannya sedang cuba disekat oleh Kementerian Pertahanan.

“Data itu membuktikan rampasan tanah untuk tujuan membina kawasan penempatan dilakukan secara terancang dengan menggunakan istilah ‘keperluan ketenteraan’ sedangkan penggunaannya menyalahi undang-undang dan keperluan itu hanya diada-adakan,” kata seorang peguam, Michael Sfard kepada Haaretz.

Sfrad mewakili beberapa penduduk Palestin yang tanah mereka telah diambil alih oleh pendatang haram Yahudi.

– AP

No comments: