Thursday, February 28, 2008

Apabila Pas ingin menjadi UMNO

Pendapat
SUATU ketika dulu, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew berkata bahawa persaingan antara parti tulang belakang pemerintahan negara, UMNO dan Pas akan menjadi semakin berteraskan Islam.

Maka katanya, pada masa depan persaingan ‘merebut Islam’ antara kedua-dua parti itu akan menjadi semakin sengit.

Jikalau masa depan yang dirujuk oleh beliau ialah masa sekarang - atau apa lebih tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini ternyata hipotesis beliau tidak tepat.

Sekali imbas, kenyataan merebut Islam itu pun kurang tepat apabila falsafah dan pendekatan Islam yang dibawakan UMNO amat berbeza. Pas pada setiap masa memperkukuhkan hujah Islamnya sebagai sebuah ideologi Islam konservatif dan berusaha meletakkan asas-asas amalan Islam tradisional yang tidak berubah tafsirannya sejak zaman pengukuhan fikah berasas kitab kuning.

Sehinggakan seorang penulis menganggap Islam dalam pengertian ini ‘terlalu fikah’ yang menghasilkan polisi pentadbiran negeri seperti pemisahan kaunter berasas jantina di pasar raya atau ingin mengawal cara berpakaian rakyat sepertimana amalan Pas di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dulu.

UMNO tetap mengamalkan penerapan nilai-nilai keislaman yang telah ditafsir dan disesuaikan dengan nilai semasa. UMNO tidak pernah berhasrat ingin mengawal soal-soal peribadi rakyat tetapi dalam masa yang sama menguatkan asas-asas pendidikan Islam. Melalui program j-Qaf misalnya adalah satu bukti kukuh bagaimana di tangan UMNO, soal pendidikan Islam yang abstrak dan ditafsir sesuka hati oleh Pas telah diperkukuhkan dan diberi bentuk, siap dengan blue print dan wawasannya.

Pengertian Pas mengenai Islam terlalu longgar dan sesedap rasa pemimpin mereka. Telah banyak bukti betapa tidak konsistennya pendirian mereka dalam banyak isu.

Dalam isu wanita, Pas kini mula melihat wanita sebagai aset parti dan mengumpan pengundi dengan calon wanita yang agak ramai. Sedangkan sebelum pilihan raya 1999 Nik Aziz memberi alasan penglibatan wanita akan menyebabkan mereka diganggu lelaki.

Perkataan yang beliau gunakan iaitu ‘takut bergesel’ semasa kempen sedang berlangsung dengan aktif. Adakah suasana kempen sekarang tidak akan menyebabkan wanita bergesel dengan lelaki?

Dalam usaha Nik Aziz mempertahankan kenyataan beliau seperti Tuhan samseng atau orang UMNO macam orang utan - agak jelas hujah agama boleh disusun mengikut keperluan dan selera semasa.

Kini, Pas melancarkan manifesto ‘kerajaan berkebajikan’ yang menggugurkan ideologi negara Islam.

Sekiranya diteliti ciri negara berkebajikan seperti; pembangunan bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam, kecemerlangan moral dan nilai keinsanan atau kebendaan adalah modal, pembangunan insan adalah matlamat maka Pas dan UMNO sudah tidak berbeza.

Bezanya cuma Pas menulisnya elok-elok di atas kertas manakala UMNO telah sekian lama menjayakannya secara realiti dan dirasai kesan kebajikannya oleh segenap lapis rakyat tanpa mengira kaum. Pas baru terkial-kial meletakkannya sebagai satu sasaran yang akan dicapai, UMNO dan Barisan Nasional telah menjayakannya dan kini cuma dalam proses menambah baik sahaja. Ambil sahaja contoh program pembasmian kemiskinan atau penyediaan prasarana yang hampir mencapai kemajuan seratus peratus.

Nampaknya hujah Lee Kuan Yew menyimpang jauh. UMNO tidak perlu berebut Islam dengan Pas. Sebaliknya, Pas yang cuba memplagiat UMNO dalam menyusun manifestonya kali ini. Melalui pengalaman yang lepas, tanpa identiti sendiri yang kemas, si peniru biasanya susah untuk berjaya.

– ZAINUDIN OMAR,

Kajang, Selangor.

No comments: