Oleh HELMI MOHD. FOAD (WARTAWAN UTUSAN)
RASANYA sesi taklimat kepada media mengenai Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Sabtu lalu oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor adalah taklimat paling lama yang pernah penulis hadiri.
Bayangkan selama lima jam warga media sanggup mendengar satu persatu penjelasannya yang kadangkala serius persis seorang jeneral tentera tetapi ada ketika celotehnya menyebabkan kami tergelak besar.
“Saya akan memberikan penerangan satu persatu tapi jangan ajukan soalan yang melompat-lompat dari satu topik ke topik lain.
“Dengar dulu penjelasan saya satu persatu, lepas itu anda ‘tembaklah’ apa saja dan saya akan menjawabnya tanpa berselindung, kita tidak mahu menyembunyikan apa-apa,” jelas Kamaruzaman.
Katanya, beliau mahu memberikan ruang seluas-luas kepada media untuk memahami tugas SPR bagi menyediakan gelanggang yang bebas, adil dan telus kepada parti-parti dan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac ini.
Mungkin atas pengalamannya yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Malaysia di pertengahan tahun 1970-an, Kamaruzaman merasakan betapa pentingnya media memahami secara jelas fungsi suruhanjaya itu.
Ini kerana jika orang media sendiri tidak faham, apatah lagi masyarakat umum yang sering kali disogok dengan dakwaan melulu pihak tertentu tentang penipuan dan ketidakadilan SPR dalam menjalankan tugasnya.
Justeru kepercayaan yang tulus kepada SPR sebenarnya adalah prasyarat kepada kelangsungan sistem demokrasi di negara ini.
Tiada guna sekiranya parti-parti memasuki gelanggang pilihan raya tetapi menuduh SPR berat sebelah atau menipu. Tetapi biasanya itulah yang dilakukan sesetengah pihak atau parti sekiranya mereka kecundang dalam pertarungan.
Namun mereka membisu apabila beroleh kemenangan walaupun dengan majoriti satu undi. Kerana dalam sistem pilihan raya berasaskan majoriti mudah atau first the past post yang diamalkan di negara ini, mana-mana calon yang menang dengan satu undi pun dikira menang.
Bagaimanapun pendekatan menyalahkan SPR masih terus menjadi senjata pihak tertentu seperti yang dilakukan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) apabila meletakkan SPR di kandang orang salah dan perlu dibersihkan.
Tetapi secara tersirat sebenarnya gerakan itu yang dipelopori parti-parti pembangkang bertujuan untuk mewujudkan satu momentum baru penentangan massa terhadap kerajaan selepas kendurnya gelombang reformasi.
Tsunami politik berlaku ekoran gelombang reformasi tercetus dua tahun sebelum pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan kebangkitan parti pembangkang.
Ironinya pada pilihan raya umum 2004, pembangkang tewas teruk sehinggakan parti tunjang reformasi iaitu Keadilan tinggal satu kerusi manakala Pas kehilangan tampuk pemerintahan di Terengganu serta kerajaan Kelantan Pas tinggal nyawa-nyawa ikan.
Jadi satu lagi gelombang diperlukan bagi membantu mereka bangkit semula pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Sedangkan sebelum Bersih membuat empat tuntutan iaitu bersihkan daftar pemilih, hapuskan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media yang adil, suruhanjaya tersebut sudah banyak membuat pembaharuan.
Ini termasuk penggunaan peti undi lut sinar yang akan diperkenalkan kali pertama pada pilihan raya umum kali ini.
Kamaruzaman menjelaskan, dengan peti undi lut sinar itu, maka mudahlah SPR membuat pemantauan sama ada seseorang pengundi itu benar-benar memasukkan kertas undi ke dalam peti itu dan bukannya objek lain seperti tisu dan sebagainya.
Dakwaan atau sangkaan tentang kertas undi telah sedia diletakkan dalam peti undi sebelum tempat mengundi dibuka tidak akan timbul lagi dengan penggunaan peti undi lut sinar itu.
Malah bermula dengan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 2006, SPR sudah membuat peraturan baru iaitu pengiraan semula tidak lagi dilakukan di pusat pengiraan undi sebaliknya dilaksanakan di saluran mengundi.
‘‘Jadi tidak timbul dakwaan akan ada pertukaran peti undi kerana peti itu akan berada di saluran tersebut sehingga selesai pengiraan semula dilakukan dan tidak ada lagi pengiraan semula undi di pusat penjumlahan undi,” jelasnya.
Turut dihapuskan ialah peraturan mencatatkan nombor siri pemilih di atas kaunter buku kertas undi.
Proses itu sebenarnya bukan bertujuan untuk mengetahui pemilih mengundi calon yang mana tetapi sekadar satu mekanisme pengecaman bagi membantu siasatan sekiranya terdapat kes petisyen.
Penting
Apa yang lebih penting bagi Kamaruzaman, masyarakat perlu memahami bahawa SPR hanya menjalankan tugas secara adil dan bebas berasaskan kepada kerangka undang-undang negara terutamanya Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.
Selain itu, ia juga membabitkan Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Dalam hal ini, kebanyakan isu yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak sebenarnya di luar bidang kuasa SPR sebagai selaku badan pelaksana pilihan raya di negara ini. Jadi wajarkah suruhanjaya itu dipersalahkan?
Sedangkan betapa sukarnya SPR melaksanakan tugasnya termasuk perlu menyediakan 360 barangan dan borang utama untuk pilihan raya termasuk 36 bahan latihan yang sekurang-kurang mengambil masa setahun bagi proses latihan kepada kakitangan dan petugas suruhanjaya itu.
Ketelusan yang cuba dipamerkan oleh SPR dapat diperhatikan bermula daripada urusan penamaan calon yang perlu melalui 12 peringkat ketelusan.
Pada peringkat ini amat penting bagi calon dan ejen calon memahami seluruh peraturan yang ditetapkan oleh SPR.
Apa yang penting dalam perkara ketelusan kelapan, Kamaruzaman menyatakan, semasa proses penamaan daftar pemilih terkini diserahkan secara percuma.
Dengan cara ini katanya, tidak ada mana-mana pihak yang boleh mempertikaikan bahawa terdapat perbezaan di antara daftar pemilih yang digunakan oleh pegawai pengurus pilihan raya dengan daftar yang diserahkan kepada setiap calon.
‘‘Semuanya kita telah berikan kepada calon, jadi senarai itulah yang perlu digunakan oleh ejen parti yang bertanding untuk membuat pemeriksaan ketika hari pengundian.
‘‘Tetapi masalahnya ada ejen yang datang dengan berlenggang saja, kelip-kelip mata tidak tahu nak buat apa ketika SPR mengeluarkan kertas undi kepada para pengundi yang jelas dilaksanakan secara terbuka di depan ejen setiap calon,” katanya.
Tugas ejen untuk meneliti daftar pemilih adalah penting kerana senarai tersebut menjadi salah satu bahan tohmahan pihak tertentu ke atas SPR terutama membabitkan persoalan ‘pengundi hantu’.
Ini biasanya membabitkan senarai pengundi yang telah meninggal dunia tetapi masih terus wujud dalam daftar pemilih.
Kamaruzaman menjelaskan, kuasa untuk merekodkan kematian warganegara ini ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan oleh itu SPR tidak boleh sewenang-wenangnya memotong nama pemilih tersebut selagi JPN tidak merekodkannya.
‘‘Tetapi sekiranya ada orang yang mengundi menggunakan kad pengenalan orang yang sudah meninggal itu jelas satu kesalahan dan mereka boleh diambil tindakan atau ada orang menggunakan kad pengenalan orang lain untuk mengundi, tindakan juga boleh diambil,” katanya.
Selain itu, isu pertukaran kawasan mengundi yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilih berdaftar juga berjaya ditangani apabila proses pendaftaran mesti dilakukan berasaskan alamat yang tertera pada kad pengenalan.
Begitu juga persoalan pengundi yang didaftar di luar kawasan pilihan raya. Ini tidak sekali-kali boleh dikatakan pengundi hantu kerana nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih.
Ini selaras dengan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu jika seseorang pemilih berdaftar tidak membuat apa-apa permohonan untuk bertukar alamat mastautin, sampai bila-bila pun namanya akan terus disenaraikan di kawasan tersebut.
Mengenai undi pos, Kamaruzaman menjelaskan, sebenarnya tiada ruang bagi pihak tertentu untuk mendakwa bahawa terdapat penipuan.
Sebelum ini pelbagai sangkaan timbul. Mitosnya begini; anggota tentera atau polis diarahkan oleh pegawai mereka supaya memangkah parti tertentu dan jika anggota tertentu tidak mengundi, pegawai itu sendiri akan memangkahnya.
Yang lebih digeruni pula, pihak atasan mengetahui apakah parti atau calon yang diundi oleh anggotanya. Jadi tuduhan ialah tiadanya kerahsiaan dalam undi pos.
Kepada persoalan itu, Kamaruzaman menyatakan, ia jelas karut-marut yang sering dijaja oleh pihak tertentu kerana proses mengeluarkan kertas undi berdasarkan senarai pemilih undi pos dilakukan secara terbuka di depan ejen parti.
‘‘Kertas undi yang dikeluarkan itu mesti mempunyai nombor siri yang sama pada surat perakuan, kemudian baru kedua-duanya dimasukkan ke dalam peti karung bagi dihantar ke pusat-pusat pengundian pos.
‘‘Selepas itu, ketika proses mengedarkan kertas undi kepada pengundi pos, ejen parti juga diberikan peluang untuk melihatnya secara terbuka bagi memastikan kertas undi tersebut diberikan kepada mereka yang tersenarai sahaja.
Perakuan
‘‘Selepas borang perakuan ditandatangani, maka pemilih akan menerima kertas undi masing-masing dan serentak dengan itu borang perakuan tersebut dihapuskan. Jadi tidak timbul akan ada pihak mengetahui seseorang anggota itu mengundi siapa,” katanya.
Tambahnya, meskipun ketika proses pengundian, ejen tempat mengundi tidak dibenarkan hadir namun proses tersebut dipantau oleh pegawai-pegawai SPR.
‘‘Ini dapat dilakukan setelah kita membuat pendekatan dengan menyediakan satu hari khas bagi pengundi pos untuk keluar beramai-ramai kerana ketika itu SPR ada bersama,” katanya.
Memandangkan sebelum ini terdapat tohmahan mengatakan, seringkali undi pos dikira di saat-saat sebagai strategi memberikan kemenangan kepada calon tertentu, beliau berkata, ia disebabkan kedudukan format pengiraan undi pos sebelum ini.
‘‘Jadi pada kali ini kita ubah format, letakkan undi pos di senarai teratas,” katanya.
Di samping ketelusan yang bermula daripada sistem pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih; penamaan calon; pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan, Seksyen 34A Akta Kesalahan Pilihan Raya membolehkan mana-mana orang tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya untuk memfailkan petisyen kepada Mahkamah Tinggi.
Ia dilakukan selepas 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya dan petisyen tersebut mesti diselesaikan tidak lewat dari enam bulan dari tarikh ia difailkan.
Sementara itu, dari segi memastikan perjalanan kempen dilaksanakan dengan licin dan tidak bercanggah dengan peraturan, Kamaruzaman menjelaskan, setiap parti perlu pandai membezakan antara bidang tugas SPR dan bidang kuasa polis.
‘‘Kalau sesuatu perkara itu melibatkan polis seperti permit ceramah ia perlu diselesaikan dengan polis. SPR hanya menyediakan gelanggang untuk parti-parti bertanding,” katanya.
Selain itu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) yang turut melibatkan ejen setiap parti dan calon akan berperanan memastikan kempen pilihan raya berjalan dengan lancar dan tiada sebarang unsur tidak diingini.
‘‘Ini termasuk menghentikan ceramah yang mempunyai unsur perkauman dan niat jahat,” katanya.
Di akhir taklimat tersebut, Kamaruzaman membuat kesimpulan; ‘‘Selepas mendengar penjelasan saya, anda boleh nilai pandangan yang diberikan oleh pihak tertentu atau penulis-penulis blog, siapa yang sebenarnya bercakap mengarut,” katanya.
Malah katanya, beliau secara peribadi memang amat gembira dapat berkhidmat dengan SPR kerana berpeluang memperoleh ‘pahala kering’ kerana asyik ditohmah tidak tentu fasal oleh pihak tertentu.
Tuesday, February 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment