Rencana Pengarang
PARLIMEN dan Dewan-Dewan Undangan Negeri bagi penggal kesebelas yang kurang 20 hari mencapai usia empat tahun telah dibubarkan dengan rasminya apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin menandatangani Perisytiharan Pembubaran Parlimen, semalam.
Dengan pembubaran yang diumumkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tengah hari semalam, bermakna negara ini akan mengadakan pilihan raya umum ke-12 dijangka bulan depan setelah bermain teka-teki sejak akhir tahun lalu.
Kita percaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang cukup bersedia menjalankan proses demokrasi ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk tempoh berkempen dari tarikh penamaan calon hingga pembuangan undi.
Ini kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, kerajaan baru yang dipilih melalui pilihan raya umum perlu dibentuk dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
Selepas mengharungi 11 pilihan raya umum, soal siapa yang sebenarnya memerintah negara ini sebelum kerajaan baru dibentuk tidak sepatutnya timbul.
Sudah semestinya Kabinet yang lama akan terus berfungsi sebagai sebuah kerajaan sementara (caretaker) bagi menjalankan tugas-tugas harian tanpa melibatkan pembentukan dasar baru.
Melihat suasana politik dan perpaduan kaum sekarang, proses pilihan raya dijangka dalam keadaan aman. Oleh itu rakyat tidak perlu bimbang soal keselamatan. Ini adalah perkara biasa, tambahan pula proses pilihan raya hanya mengambil masa yang pendek sahaja.
Pilihan raya umum yang bakal menjelang ini seharusnya bakal menjadi satu medan yang sihat bagi rakyat yang prihatin untuk memilih wakil rakyat mereka dan seterusnya menentukan tampuk kepimpinan negara untuk penggal yang akan datang.
Rakyat negara ini yang telah disahkan layak menjadi pemilih berdaftar perlu bersyukur kerana lazimnya proses pilihan raya di negara ini berjalan dengan baik dan lancar. Tidak pernah lagi selepas peristiwa hitam 1969, kita dengar negara kita huru-hara dan kacau-bilau disebabkan permusuhan dan perselisihan semasa pilihan raya.
Oleh kerana gelanggang perang politik sudah dibuka, apa yang majoriti rakyat harapkan ialah penceramah, ahli-ahli parti dan jentera pilihan rayanya tidak mengikut perasaan hingga menggadai prinsip dan etika berkempen dan meraih sokongan.
Sebagaimana kempen-kempen pilihan raya yang lalu, ahli-ahli parti politik perlu menunjukkan kematangan mereka dalam berpolitik.
Kempen-kempen pilihan raya yang diadakan seharusnya bebas daripada sebarang tohmahan, cacian dan herdikan. Apa salahnya jika pemimpin politik mulai sekarang menunjukkan kematangan dalam budaya berpolitik dan berkempen.
Mereka perlu tunjukkan kematangan mengharungi proses pilihan raya seperti di negara-negara maju. Untuk itu, SPR sepatutnya sudah membawa arah gaya baru berkempen kepada parti politik.
Thursday, February 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment