Wednesday, February 6, 2008

Pusat majukan Kelantan, bukan kerajaan negeri

MELAKA 5 Feb. – Rakyat Kelantan perlu sedar bahawa pembangunan yang dikecapi di negeri itu selama ini adalah hasil usaha Kerajaan Pusat dan bukannya kerajaan negeri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Kerajaan Pusat yang diperintah Barisan Nasional (BN) perlu memajukan Kelantan walaupun ia di bawah pembangkang kerana tidak mahu melihat rakyat negeri itu menderita.

‘‘Saya percaya jika tiada bantuan Kerajaan Pusat, Kelantan sudah pasti lebih teruk (mundur) sebab pembangkang tidak buat apa-apa pun untuk memajukan negeri,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya bersepadu sempena perayaan Tahun Baru Cina, di Semabok dekat sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, arus perubahan politik semakin jelas di Kelantan berasaskan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat negeri itu yang mahukan masa depan mereka dicorakkan oleh kerajaan yang berkeupayaan.

Perdana Menteri berkata, momentum pembangunan pesat di Terengganu dalam tempoh yang singkat selepas BN kembali berkuasa pada 2004 merupakan mesej yang menyedarkan rakyat Kelantan.

Mohd. Ali berkata, kelemahan pentadbiran kerajaan Pas di Kelantan dapat dilihat apabila kutipan hasil cukai yang dipungut hanya RM28 juta berbanding peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat sebanyak RM7.6 bilion.

‘‘Bayangkan kalau negeri itu di bawah pemerintahan kerajaan BN, sudah pasti lebih banyak pembangunan yang akan dibawa, seperti mana di Terengganu,” katanya.

Mengulas tanggapan bahawa pilihan raya kali ini lebih sukar berbanding 2004, Mohd. Ali berkata, beliau yakin BN boleh mengulangi pencapaian pada pilihan raya umum ke-11.

Hal ini katanya, berdasarkan pelbagai petunjuk seperti kekukuhan ekonomi, peningkatan rezab negara dan penurunan kadar kemiskinan.

‘‘Bukan sahaja masalah nasional telah ditangani, malah masalah tempatan juga telah diselesaikan dengan baik,” katanya.

No comments: