Monday, February 18, 2008

Plat kereta nombor 1 dijual RM45.8 juta

ABU DHABI 17 Feb. – Seorang ahli perniagaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memecahkan rekod dunia apabila berjaya membuat bidaan tertinggi bagi nombor pendaftaran kereta ‘1’, semalam.

“Ia bukan jumlah yang besar jika dibandingkan dengan kekayaan keluarga saya.

“Lagipun harganya berpatutan dan siapa yang tidak mahu menjadi nombor satu?” kata Saeed Abdel Ghaffar Khouri selepas membida setinggi 52.2 juta dirham (RM45.8 juta) untuk nombor pendaftaran ‘1’.

Penganjur lelongan, Emirates Auction dalam laman webnya menyatakan, pihaknya sudah menjangka satu rekod dunia untuk nombor pendaftaran kereta paling mahal akan dicipta sewaktu lelongan itu.

Seorang rakyat UAE pada Mei lalu membelanjakan lebih AS$5 juta (RM16.1 juta) untuk mendapatkan nombor pendaftaran ‘5’.

Sebahagian keuntungan daripada hasil lelongan itu akan disumbangkan kepada badan kebajikan termasuk membina sebuah hospital.

Pegawai Emirates Auction, Abdullah Al-Mannaei menjelaskan, ratusan orang berebut-rebut dalam bidaan melibatkan 90 nombor pendaftaran nilai digit yang kecil dengan jumlah lelongan keseluruhan mencapai 89 juta dirham (RM78 juta).

– AFP

No comments: