Tuesday, February 12, 2008

Kapal selam pertama diterima 2009

Oleh Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU - 11 Feb : Kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman akan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) awal tahun depan dan dijangka memasuki perairan negara selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamad Ali, berkata latihan membabitkan 150 anak kapal berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya, semua pegawai dan anggota TLDM yang bertugas di atas kapal selam itu kini menjalani latihan di Sekolah Latihan Kapal Selam Malaysia di Pangkalan Laut DCN, di Brest sejak 2004 bagi melayakkan mereka belayar pulang ke Malaysia.



"Sebahagian daripada mereka berada di Brest menjalani latihan untuk menjadi krew kapal selam, manakala sebahagian lagi dilatih sebagai krew simpanan, sokongan dan pengajar.

"Latihan itu meliputi operasi di daratan dan dalam kapal selam serta penggunaan sistem, senjata, pemerintahan, taktikal dan peperangan biokimia.

"Latihan yang begitu lama kepada setiap pegawai serta anggota termasuk tukang masak perlu kerana mereka memastikan keselamatan kapal selam jenis Scorpene itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Pemakaian Pangkat Kehormat Komandan dan Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes-Laut) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Sulaiman Md Yassin ditauliahkan jawatan Komanden Palapes, manakala Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakuliti Pengajian Maritim dan Sains Maritim, Profesor Madya Zainal Ashirin Shahardin ditauliahkan pangkat Komander.

Ramlan berkata, semua anak kapal yang dipilih bertugas dalam kapal selam itu diberi tanggungjawab penuh mengendalikan setiap tugas demi memastikan keselamatan kapal selam pertama negara.

Katanya, kapal selam yang akan memulakan operasi Julai tahun depan mampu mengawal perairan negara untuk memastikan Selat Melaka kawasan selamat laluan kapal untuk perdagangan antarabangsa.

Ketika diminta mengulas mengenai keselamatan perairan di negara ini, Ramlan berkata, keadaan keselamatan maritim negara terkawal dan tiada sebarang perkara negatif dilaporkan dan perlu ditangani.

"Kita mempunyai pangkalan di seluruh negara dan kapal peronda sentiasa membuat rondaan bagi memastikan keselamatan perairan sentiasa selamat," katanya.

No comments: